**********************************************************************************************

WELCOME TO SAYANG ORANG UTAN

Monday, November 9, 2009

Selamat orang utan dari kepupusan

Oleh Rosmaliana Aida Mohd Adnan
rosmaliana@hmetro.com.my

Boh dan WWF lancar kempen Teh Untuk Pokok untuk hijau Kinabatangan

KEBAKARAN dan pembukaan hutan untuk pertanian secara tidak terkawal menyebabkan haiwan seperti orang utan mengalami kepupusannya.

Pada awal 70-an dan 80-an, dianggarkan sejumlah 20,000 orang utan yang bergantung sepenuhnya kepada hutan sebagai habitat asal menghuni di Sabah dan Sarawak, tetapi kini menyusut hingga jumlahnya tinggal 11,000 saja.

Ia satu angka penurunan drastik yang amat membimbangkan dan sekiranya tiada langkah pengawalan, generasi akan datang berkemungkinan tidak mengenali orang utan.


Malah kini, Borneo dan Sumatera adalah kawasan terakhir orang utan yang masih hidup. Ini menjadikan usaha menyelamatkan haiwan berkenaan daripada terhapus tergalas di bahu masyarakat setempat.

Oleh itu, Boh Plantations Sdn Bhd (Boh) dengan kerjasama Tabung Hidupan Liar Sedunia (WWF) Malaysia menganjurkan kempen Teh Untuk Pokok bertujuan memulihara tempat tinggal orang utan untuk mengelakkan kepupusan haiwan berkenaan.

Pelancaran kempen kesedaran berkenaan disempurnakan Ketua Pegawai Eksekutif Boh, Caroline Russel serta Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif WWF Malaysia, Datuk Dr Dionysius Sharma di Petaling Jaya, Selangor, baru-baru ini.

Hadir sama, Ketua Pengurusan Penjenamaan Kumpulan Pembangunan Perniagaan dan Komunikasi Korporat TV9, Rozana Zainul Abidin dan wakil Jabatan Sukan, Sains dan Komunikasi Kementerian Pelajaran, Noor Zalina Zainal Abidin.

Menurut Sharma, rata-rata masalah kepupusan haiwan berkenaan sememangnya banyak dikaitkan dengan aktiviti pembalakan haram, pencerobohan hasil hutan dan pembukaan banyak ladang kelapa sawit.

Selain itu, faktor pemburuan haram untuk diperdagangkan di pasaran gelap bagi tujuan perubatan serta perhiasan turut mengancam kehidupan orang utan.

Untuk itu, katanya, program sedemikian diharap dapat meningkatkan kesedaran kepada masyarakat prihatin supaya menyokong usaha murni terbabit.

Antara cara adalah mendapatkan pek pembiayaan Boh sebagai pertukaran untuk sebatang pokok yang akan ditanam di suatu tapak degradasi.

Katanya, penyumbang turut diberi peluang menanam pokok mereka secara simbolik dengan meletakkan pin pokok pada peta Koridor Kehidupan Kinabatangan sebagai penanda pokok yang akan ditanam.

"Kebanyakan pokok yang ditanam adalah sumber makanan kepada orang utan berkenaan dan diharapkan melalui usaha ini, populasi orang utan akan bertambah pada masa akan datang.

"Diharapkan kawasan yang dijadikan perlindungan orang utan ini dapat menampung proses pemuliharaan dijalankan untuk jangka panjang," katanya.

Justeru, kesedaran awal mengenai kepentingan hutan terhadap kehidupan orang utan ini perlu dilakukan sejak awal supaya generasi muda tidak memandang remeh perkara berkenaan.

Menurutnya, masyarakat seharusnya mempunyai rasa tanggungjawab untuk melindungi spesies luar biasa yang mempunyai 96 peratus sifat genetik menyerupai manusia ini.

"Pasti ia suatu kehilangan yang tiada gantinya jika ikon negara ini pupus dan hanya diingati sebagai legenda saja," katanya.

Di samping itu juga bagi meningkatkan kesedaran mengenai kepupusan orang utan di kalangan masyarakat umum terutama pelajar, Boh dan WWF turut mengadakan pertandingan mereka laman web yang digunakan untuk memberi kesedaran mengenai masalah itu menerusi Program Sekolah Sinar Harapan Orang-Utan.

Program terbabit diilhamkan untuk terus memupuk kesedaran masyarakat mengenai kepupusan orang utan, terutama di kalangan generasi muda supaya mereka dapat memainkan peranan menyebarkan maklumat mengenai pemuliharaannya.

Tidak dapat dinafikan, remaja kini lebih berminat untuk menambah pengetahuan mengenai spesies terbabit jika maklumat berkenaan mudah diperoleh terutama menerusi cara dalam talian.

Malah melalui penggunaan blog sebagai alat perhubungan, pasti lebih ramai pengguna mendapat pengetahuan secukupnya mengenai habitat semula jadi orang utan yang kian terpupus.

Tiga sekolah dipilih sebagai pemenang utama. Juara dimenangi Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Gading, Batu Pahat, Johor yang membawa pulang wang tunai RM5,200 dan piala penghargaan. Mereka turut berpeluang menyertai lawatan sambil belajar ke Kinabatangan, Sabah untuk melihat usaha pemuliharaan yang dilakukan di wilayah berkenaan.

Guru pembimbing program One Hope For Orang Utan SMK Seri Gading, Abdul Razak Abdul Wahab, berkata program berkenaan memberi banyak kesedaran kepada pelajar serta masyarakat setempat mengenai kepentingan menjaga alam sekitar.

"Boleh dikatakan kesedaran terhadap perkara ini masih rendah dan melalui program dijalankan, ia sedikit sebanyak dapat memberi pengetahuan berhubung masalah berkenaan.

"Usaha yang dilakukan pelajar dalam memberi pengetahuan kepada masyarakat perlu dijadikan contoh untuk merealisasikannya di peringkat lebih besar," katanya.

Tempat kedua menjadi milik Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Jempol, Seremban, Negeri Sembilan yang memenangi wang tunai RM3,000 dan piala penghargaan. Pemenang tempat ketiga, Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Melati Setapak, Kuala Lumpur pula mendapat RM1,700 serta piala penghargaan.

No comments:

Related Posts with Thumbnails