Lihat/tonton sepanjang perjalanan kami di Kinabatangan, Sabah dalam rancangan Nasi Lemak Kopi O di TV9. Hanya klik pada 'Part 6' selepas persembahan dan temubual Black ( Mentor ) pada akhir video dan video seterusnya klik pada 'Part 7' pada awal video. Selamat menonton!
Nasi Lemak Kopi O: 11 Disember 09
Sunday, December 13, 2009
Tuesday, December 1, 2009
Perjalanan Kami di Sabah, 21 November, Hari Pertama
Kami bergerak dari Bandar Seri Jempol pada jam 4.30 pagi dan sampai di KLIA tepat jam 6.30 pagi. Pada jam 7.00 pagi, kehadiran kami disambut oleh wakil daripada BOH Plantation, Cik Chris Chan yang menguruskan aktiviti dan perjalanan kami ke Kinabatangan. Kami diberikan penerangan ringkas mengenai keperluan, keselamatan dan tindakan yang perlu diambil sepanjang berada disana. Kami turut ditemukan dengan pasukan dari SMK Seri Gading, Batu Pahat, Johor serta wakil daripada TV9 yang akan bersama-sama kami di Kinabatangan, Sabah. Pada jam 8.10 pagi, kami menaiki pesawat MAS Airline MH 2710 ke Lapangan Terbang Sandakan. Perjalanan mengambil masa kira-kira 2 jam 45 minit untuk sampai ke destinasi pertama kami.
Setelah sampai, kami disambut mesra oleh Encik Lok, pemandu pelancong kami di sana. Sebelum berangkat ke restoran berdekatan menaiki bas yang disediakan untuk sajian tengah hari, kami sempat melakukan penggambaran seperti yang diminta oleh wakil TV9.
Selepas itu, kami dibawa pula ke Nature Lodge Kinabatangan, Chalet Kg Bilit. Untuk sampai ke Nature Lodge, kami perlu menaiki bot untuk menyeberangi Sungai Kinabatangan. Kehadiran kami di sana agak lewat menyebabkan aktiviti river cruise kami pada petang tersebut terpaksa ditangguhkan disamping faktor cuaca.
Pada malam tersebut, kami dikunjungi oleh wakil daripada WWF Malaysia bagi satu slot penerangan daripada mereka. Topik yang dikupas ialah Kinabatangan, Corridor of Life, yang menyentuh isu penanaman semula serta pemeliharaan dan pemuliharaan Kinabatangan daripada kesan penerokaan hutan. Satu tayangan video eksklusif selama 30 minit oleh WWF turut ditayangkan bagi memantapkan lagi pemahaman kami, disusuli dengan sesi soal-jawab.
22 November, Hari Kedua
Tepat jam 7.00 pagi, aktiviti river cruise diadakan. Kami dibawa merentasi Sungai Kinabatangan, yang merupakan sungai terpanjang di Malaysia. Kami dapat menikmati suasana pagi yang nyaman disamping dapat melihat dengan lebih dekat spesis-spesis tumbuhan dan haiwan liar. Antara haiwan yang dapat kami lihat ialah spesis kera, ular dan beberapa spesis burung seperti burung enggang yang sukar dapat dilihat di tempat lain. Namun, kami dijanjikan dengan pemerhatian yang lebih menarik pada river cruise di sebelah petang kerana pada waktu pagi, haiwan agak kurang aktif.
Selepas menikmati sarapan pagi, kami berjalan kaki ke Habitat Enterprise (HE) yang terletak tidak beberapa jauh dari Nature Lodge. Kami dikehendaki berpakaian yang sesuai bagi menjalankan aktiviti di sana. Habitat Enterprise adalah organisasi yang turut terlibat dalam penanaman semula pokok. Di Habitat Enterprise, kedatangan kami disambut baik oleh pegawai dan kakitangan di sana.
Kami diberikan taklimat ringkas mengenai latar belakang Habitat Enterprise oleh pemiliknya, Encik Azlin bin Awang serta dibawa melawat kawasan sekitar nursery tersebut.
Kami turut diberi kesempatan melakukan aktiviti pengurusan baka pokok dari peringkat pengisian tanah ke dalam ‘bayong’ atau polybag hinggalah ke aktiviti merumput dan penjagaan anak pokok.
Pada sebelah petang pula, kami melaksanakan aktiviti penanaman semula pokok di kawasan yang dikenalpasti kritikal untuk dikitar semula. Kami bekerjasama menebas, menggali dan menanam 13 anak pokok yang disediakan dibawah bimbingan dan pengawasan kakitangan Habitat Enterprise dan WWF.
Selepas makan malam, kami berkunjung ke perkampungan Orang Sungai yang terletak kira-kira 20 minit berjalan kaki ke sana. Disana kami sempat beramah mesra dengan penduduk kampung. Kami dihiburkan dengan tarian tradisional masyarakat Orang Sungai yang bermotifkan penanaman padi. Kami turut diberi peluang memainkan alat muzik tradisional Orang Sungai serta dipelawa menari bersama mereka. Walaupun pada awalnya penduduk kampung terpaksa bergelap disebabkan terputus bekalan elektrik yang disangkakan gimik persembahan, namun kami tetap terhibur dengan acara pada malam tersebut. Selepas itu, kami kembali ke Nature Lodge.
23 November, Hari Ketiga
Selepas sarapan pagi, pada jam 8 pagi kami check out dari lodge dan menuju ke Pusat Pemeliharaan Orangutan Sepilok. Pada jam 10 pagi, kami berpeluang melihat orangutan dengan lebih jelas ketika ‘feeding time’. Para pelancong termasuk kami tidak melepaskan peluang mengambil gambar dan merakam aksi primata ini pada waktu makannya. Haiwan ini berada dalam habitat asalnya dan para pengunjung dikehendaki untuk tidak membuat bising. Sepilok Gallery juga turut kami lawati bagi mendapatkan maklumat tambahan mengenai orangutan.
Tepat jam 2 petang, kami meneruskan perjalanan ke Rainforest Discovery Centre. Disana kami dapat melihat dengan lebih dekat pelbagai spesis tumbuhan yang agak jarang dapat dilihat seperti spesis orkid, periuk kera dan pokok-pokok komersial. Kami turut tidak melepaskan peluang menyeberangi jambatan gantung merentasi tasik di lokasi tersebut.
Sebelum sampai di Lapangan Terbang Sandakan, kami singgah sebentar di Sabakraf untuk membeli cenderahati untuk dibawa pulang. Pelbagai jenis makanan dan cenderamata berupa perhiasan, baju T, perhiasan manik, kristal serta mutiara. Acara tawar-menawar dengan peniaga sememangnya tidak dapat dilepaskan.
Setelah habis berbelanja, kami meneruskan perjalanan ke Lapangan Terbang Sandakan. Penerbangan kami adalah pada jam 6.50 petang menaiki pesawat MAS Airline MH 2707. Kami selamat tiba di KLIA kira-kira jam 9.40 malam. Sebelum bersurai, kami sempat melaksanakan penggambaraan terakhir bersama krew TV9. Pengalaman menyertai pertandingan New Hope For Orangutan ini merupakan satu pengalaman yang sangat menyeronokkan. Usaha keras kami akhirnya dibalas dengan lawatan 3 hari 2 malam di Kinabatangan. Selain dapat merasai keseronokan meredah khazanah Sabah, kami juga berpeluang menambah kenalan terutamanya dengan pasukan GPRS yang sangat ramah melayan kami disana. Dikesempatan ini, kami ingin mengucapakan jutaan terima kasih kepada Boh Plantation, WWF serta TV9 kerana memberi peluang kepada kami menyertai pertandingan serta lawatan ini. Tidak dilupakan juga kepada Guru Penasihat kami, Encik Affandi Abu yang telah banyak memberi dorongan dan bimbingan kepada kami sepanjang menerajui pasukan Sayang Orangutan. Semoga program sebegini dapat diteruskan lagi padan tahun-tahun akan datang.
Subscribe to:
Posts (Atom)






: :
:




