**********************************************************************************************

WELCOME TO SAYANG ORANG UTAN

KERATAN AKHBAR

ARKIB : 18/02/2010

Pelajar dekati orang utan Kinabatangan














SEKUMPULAN remaja bertuah baru-baru ini berpeluang menjelajah jauh ke dalam hutan hujan tropika dan mengharungi laluan berlumpur serta berbukit di pedalaman Sabah. Pengalaman luar biasa itu ditempuhi pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Gading, Batu Pahat, Johor dan SMK Sri Jempol, Seremban, Negeri Sembilan, yang memenangi Program Sekolah Harapan Baru untuk Orang Utan.

Kedua-dua sekolah yang merupakan juara dan naib juara bagi program yang dianjurkan bersama syarikat yang sinonim dengan usaha pemuliharaan alam sekitar, Boh Plantations Sdn. Bhd. dan Dana Hidupan Liar (WWF) Malaysia. Program yang memasuki tahun kedua itu diperkenalkan bertujuan untuk meningkatkan kesedaran di kalangan orang ramai khususnya golongan muda terhadap pentingnya usaha-usaha pemuliharaan orang utan - spesies yang kian diancam kepupusan.
Ketua Pegawai Eksekutif Boh Plantations Sdn. Bhd., Caroline Russell berkata, ketika mencipta konsep program itu mereka ingin membuka peluang kepada para pemenang melihat sendiri isu sebenar dan usaha pemuliharaan bagi memastikan kelangsungan hidup spesies berkenaan."Pada dasarnya, ia berkaitan memperkasakan golongan muda agar menjadi individu yang mempunyai kesedaran tinggi terhadap alam sekitar dan mampu mengubah dunia ke arah pembangunan lestari di masa depan," katanya.

Beliau berkata, sebagai mewujudkan kesedaran di peringkat akar umbi, melalui program ini pelajar perlu menganjurkan pelbagai aktiviti bersama rakan sebaya atau komuniti setempat. Mereka juga perlu mewujudkan blog sebagai saluran dalam talian untuk menyebarkan aktiviti kempen kesedaran masing-masing dan mendapatkan sokongan ramai. Sementara itu, para pemenang bertuah dibawa melawat sambil belajar ke Habitat Enterprise, syarikat berasaskan komuniti tempatan iaitu di Kampung Bilit yang menyediakan perkhidmatan penanaman semula pokok-pokok hutan.
Dipantau sepenuhnya di bawah WWF Malaysia, ia kini dimiliki dan diurus komuniti Kampung Bilit di Sabah. Selain dibawa meninjau ke nurseri tersebut, para pelajar berkenaan juga diberi peluang terlibat dalam aktiviti penanaman semula. Mereka ditunjuk cara-cara mengisi tanah dalam beg poli, memindahkan benih muda dan aktiviti penjagaan lain. Para pelajar turut menyertai usaha menanam pokok di kawasan sepanjang Sungai Kinabatangan. Di samping Habitat Enterprise, pelajar terbabit juga mengunjungi Pusat Pemulihan Orang Utan Sepilok, Pusat Penemuan Hutan Hujan dan menyusuri Sungai Kinabatangan sambil melihat kelibat orang utan liar.

Mereka turut mempelajari seni muzik Orang Sungai dan menari bersama masyarakat tempatan sebagai pengalaman menarik yang tidak dapat dilupakan. Sementara itu, seorang pelajar dari SMK Sri Gading, Muhammad Syamin Abdul Salam, 16, menyifatkan lawatan ke Kinabatangan merupakan pengalaman sekali seumur hidup yang pastinya sukar dilupakan. "Ia bagaikan mimpi jadi nyata dan saya bertuah kerana berpeluang mengikuti lawatan ini," katanya. Menurutnya, lawatan tersebut telah memberi pengetahuan mendalam mengenai situasi dan ancaman yang dihadapi oleh habitat orang utan.

Baginya, rakyat Malaysia sepatutnya berasa bertuah kerana menjadi salah satu negara yang mempunyai habitat tersebut. "Habitat spesies ini cuma ada di dua buah negara di dunia dan usaha-usaha pemuliharaannya harus dijalankan dengan giat bagi memastikan ia tidak pupus. "Jika tidak pada masa akan datang kita mungkin hanya mengetahui mengenai kewujudan oran utan melalui buku-buku sejarah dan hanya mampu untuk berimaginasi tanpa dapat melihatnya secara nyata," katanya.

Seorang lagi pelajar, Irwan Norsyaraf Zulkaffili dari SMK Sri Jempol pula berkata, Program Sekolah Harapan Baru untuk Orang Utan menjadi platform kepada golongan muda khususnya pelajar untuk terbabit dalam aktiviti-aktiviti yang bermanfaat. Pada masa yang sama katanya, ia memperluaskan lagi pengetahuan di kalangan pelajar mengenai isu-isu alam sekitar dan hidupan liar di negara ini. "Diharapkan program ini akan diteruskan pada masa depan bagi membolehkan golongan muda mendapat manfaat daripadanya sebagaimana yang kami peroleh sekarang," katanya.

* * *

               
ORANGUTAN SATU WARISAN 

Oleh MOHD. FADZLY MOHD. IZAB

MENANAM pokok sebagai simbol pemuliharaan habitat orang utan di Kinabatangan, Sabah baru-baru ini.


Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Gading, Batu Pahat, Johor dan SMK Sri Jempol, Negeri Sembilan menjadi johan dan naib johan dalam pertandingan Program Sekolah - Harapan Baru Untuk Orang Utan anjuran BOH Plantations dan World Wildlife Fund (WWF) Malaysia.


PENGALAMAN menaiki sampan merentasi sungai sambil menikmati kehijauan alam semula jadi amat menyeronokkan.


Pelajar-pelajar yang mewakili sekolah tersebut diberi peluang menunjungi hutan hujan tebal di Kinabatangan, Sabah dengan jalan berlumpur dan berbukit bagi merasai sendiri pengalaman menyelamatkan orang utan yang terdapat di kawasan itu.
Program diperkenalkan tahun lalu itu merupakan program kesedaran belia yang bertujuan untuk meningkatkan tahap kesedaran terhadap pemuliharaan orang utan serta membolehkan golongan muda memainkan peranan mereka dengan menyampaikan mesej pemuliharaan hidupan liar.
Untuk membina tahap kesedaran di peringkat akar umbi, pelajar perlu menganjurkan pelbagai aktiviti bersama rakan sebaya dan juga masyarakat setempat. Mereka juga perlu menghasilkan blog sebagai medium atas talian bagi mempamerkan aktiviti kempen kesedaran serta untuk mendapatkan sokongan dengan lebih kreatif.


SEBAHGIAN daripada pelajar yang menyertai program Sekolah - Harapan Baru Untuk Orang Utan anjuran BOH Plantations dan WWF Malaysia di Kinabatangan, Sabah, baru-baru ini.


Bagi pelajar ini, projek yang bermula sebagai sebuah projek sekolah bagi meningkatkan kesedaran mengenai pemuliharaan orang utan telah bertukar menjadi suatu pengalaman serta mendapat ilmu yang tidak ternilai dalam usaha memulihara primat bijak tersebut.
Semasa di Kinabatangan, para pelajar dibawa melawat Perusahaan Habitat yang merupakan syarikat masyarakat tempatan yang menyediakan perkhidmatan penghutanan semula hutan. Para pelajar juga diajar mengenai aktiviti semaian seperti isi tanah ke dalam begpoli, mengubah anak benih muda dan pelbagai lagi aktiviti berkaitan. Selain itu, pelajar berkenaan juga turut serta menanam pokok di beberapa kawasan penghutanan semula yang telah dikenalpasti di sepanjang Sungai Kinabatangan.

Seorang pelajar dari SMK Sri Gading, Muhammad Syamin Abdul Salam berkata, lawatan tersebut telah memberinya satu pemahaman lebih mendalam mengenai situasi dan ancaman yang dihadapi oleh orang utan.
``Kita bertuah kerana Malaysia merupakan salah satu negara di dunia yang mempunyai habitat orang utan di dalam hutan negara ini. Spesis ini hanya terdapat di dua negara dan usaha untuk memulihara spesis ini dari mengalami kepupusan perlu diteruskan. Jika tidak, ia akan hanya boleh dilihat dalam buku-buku sejarah atau menjadi satu cebisan kecil imaginasi kita,'' katanya.
Irwan Norasyraf Zulkaffili dari SMK Sri Jempol pula berkata, program Harapan Baru Untuk Orang Utan ini telah memberikan kami satu platform untuk menyertai usaha yang mulia dan dalam masa yang sama dapat memperluaskan kefahaman mengenai alam sekitar dan isu hidupan liar.

``Kami berterima kasih kepada BOH dan WWF Malaysia kerana peluang yang diberikan dan kami berharap program sekolah seperti ini akan diteruskan di masa hadapan untuk membolehkan golongan muda mendapat faedah melaluinya,'' katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif BOH Plantations, Caroline Russell berkata, semasa kami memperkenalkan konsep program ini kami mahu menghadiahkan para pemenang lawatan ke Kinabatangan untuk memberikan mereka pengalaman sebenar dan melihat sendiri isu serta mempelajari mengenai usaha pemulihan bagi memastikan kelangsungan hidup orang utan.

``Apabila individu meletakkan hati dan jiwa mereka terhadap usaha meningkatkan tahap kesedaran tentang penjagaan orang utan, melawat sendiri habitat orang utan tersebut akan menjadi ganjaran paling sesuai buat mereka,'' jelasnya.
Menurutnya, program itu juga adalah bagi memperkasakan generasi muda sekarang untuk menjadi duta kepada orang utan serta menjadi individu yang peka terhadap persekitaran yang dapat membawa perubahan dalam mengekalkan pembangunan masa hadapan.

* * * 
ARKIB : 19/10/2009            


SELAMATKAN ORANGUTAN!!


Caroline Russel (tiga dari kiri) dan Dr. Dionysius Sharma (lima dari kanan) bersama para pemenang Projek Sekolah - Harapan Baru Untuk Orang Utan.


   SUATU ketika dahulu, orang utan ditemui dari selatan China sehingga ke kaki pergunungan Himalaya dan selatan kepulauan Jawa, Indonesia. Hari ini, Borneo dan Sumatera merupakan dua lokasi terakhir di bumi yang menempatkan spesies orang utan.
Maka teramatlah rugi jika mawas yang lebih 96 peratus menyamai manusia daripada segi genetik itu terhapus terus dari persekitaran semula jadi dan hanya disebut-sebut dalam cerita legenda.
Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif WWF Malaysia, Datuk Dr. Dionysius Sharma berkata, orang utan memainkan peranan utama dalam memastikan kesejahteraan ekosistem hutan hujan Borneo dan Sumatera.

Orang utan tergolong dalam kategori spesies teras. Kewujudannya dalam ekosistem memberi kesan secara langsung terhadap kesihatan spesies lain dan ekosistem secara keseluruhannya.
"Dianggarkan terdapat kira-kira 55,000 orang utan di Borneo yang masih hidup. Sejak 30 tahun lalu, jumlah haiwan itu menurun sebanyak 30 hingga 50 peratus akibat kehilangan habitat juga kebakaran hutan sejak 1998,
"Jika ancaman terhadap habitat primat ini tidak ditangani segera, pakar meramalkan bahawa haiwan berkenaan akan pupus dalam 10 hingga 20 tahun lagi," kata Dr. Dionysius.
Ketua Pegawai Eksekutif Boh Plantations, Caroline Russel berkata, pihaknya sentiasa menyokong usaha pemuliharaan hidupan liar dan alam sekitar.

Pada tahun 2002, Boh melancarkan program Harapan Baru untuk Orang Utan bagi menyebarkan isu-isu yang menggugat kehidupan primat dan habitat semula jadinya.
Projek kolaborasi antara Boh dan WWF Malaysia itu melibatkan inisiatif menanam semula anak pokok bermula di Kampung Bilit Kinabatangan, Sabah dikenali sebagai Projek Restorasi Habitat.
Anak pokok disemai sehingga membesar kepada saiz dan kuantiti ditetapkan dan kemudian dihantar untuk ditanam semula di kawasan terpilih sekitar Kinabatangan untuk perhutanan semula.

"Idea sebalik projek ini adalah untuk memulihkan poket kecil hutan yang ternyah gred yang boleh membantu menyambungkan semula 'serpihan' hutan dan mewujudkan 'koridor kehidupan' hutan baru.
"Dengan tempat tinggal yang lebih besar, orang utan boleh menyeberang ke kawasan hutan lain untuk mengawan, menjadi sumber makanan dan meneruskan kehidupan," kata Caroline.
Justeru pihaknya melancarkan program Tea for Trees atau Teh Untuk Pokok bertujuan memulihara habitat orang utan menerusi penyambungan serpihan hutan dan meningkatkan kadar pemahaman konservasi orang utan di kalangan masyarakat umum.

Menerusi program ini, orang ramai mampu melakukan perbezaan demi kelangsungan hidup orang utan dengan 'mengambil pokok angkat' yang akan disumbangkan ke arah memulihkan sebuah kawasan di Kinabatangan.
Program Teh Untuk Pokok yang dilancarkan tahun lalu berjaya mengumpul sebanyak 700 pokok angkat dan sumbangan itu disalurkan kepada projek baik pulih habitat orang utan.
Tahun ini, sekurang-kurangnya 1000 batang pokok diperlukan bagi menjalankan kerja-kerja memulihkan kawasan tanah ternyah gred melalui kempen yang dijalankan selama dua hari pada 3 dan 4 Oktober lalu di Mutiara Damansara Kuala Lumpur baru-baru ini.
Pada msa yang sama Boh melancarkan Projek Sekolah - Harapan Baru Untuk Orang Utan dengan kolaborasi antara Boh, WWF, TV9 dan Kementerian Pendidikan bagi meningkatkan kesedaran di kalangan belia negara.

Di samping itu, memperkasakan para pelajar sekolah untuk menyebarkan mesej pemeliharaan primat berkenaan menggunakan daya kreativiti dan imaginasi melalui blog.
Daripada 65 blog yang diterima, 10 disenarai pendek. Tujuh dipilih sebagai pemenang saguhati dan menerima sijil serta hadiah wang tunai RM100 setiap satu.
Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Gading Batu Pahat, Johor muncul juara dan membawa pulang wang tunai RM5,200, plak dan pengembaraan ke Kinabatangan untuk melihat sendiri dan mengalami usaha pemuliharaan orang utan.
Sementara pemenang tempat kedua, SMK Seri Jempol Seremban, Negeri Sembilan memenangi wang tunai RM3,000 dan plak manakala SMK Taman Melati Setapak, Kuala Lumpur di tempat ketiga menerima RM1,700 beserta plak.
Orang ramai yang berminat mengetahui lebih lanjut mengenai Teh Untuk Pokok, sila kunjungi laman web www.orangutan.com.my atau halaman Facebook New Hope for Orang Utan.

* * * 

No comments:

Related Posts with Thumbnails